aku adalah aku

My photo
shah alam, selangor, Malaysia
Tukar warna background

Tuesday, March 22, 2011

hukum berinai...

Adat Vs Syariat : Hukum Memakai Inai

Assalamu'alaikum...

 Dengan nama Allah ku memulakan penulisan ini. Segala puji bagi Allah Tuhan yang menciptakan 7 petala langit dan 7 petala bumi. Selawat serta salam buat Rasul utusan terakhir penutup sekalian Nabi, Nabi Muhammad s.a.w. Posting kali ini berkenaan dengan hukum memakai henna (inai).

Hal ini telah pun berkali-kali ulama' memperkatakan berkenaan hukum memakai henna (inai), tetapi masih ada lagi dikalangan masyarakat melayu khususnya yang beragama Islam melakukannya, samaada inai yang berupa awan larat atau daun yang diukir di atas tapak tangan wanita mahupun inai yang dipakai oleh pengantin lelaki ketika majlis perkahwinan. Biasanya bagi pengantin lelaki, mereka hanya memakai pada 3 jari sahaja. Kenapa 3 jari sahaja? dan inilah yang dikatakan adat. 

Dr. Yusuf al-Qordhawi menyatakan ulama' berpendapat bahawa hukum lelaki memakai inai di kukunya adalah di antara haram dan makruh. Ini kerana ia menyerupai perhiasan wanita. Inai yang digunakan untuk perubatan (medication) tidaklah mengapa. Inai di rambut lelaki adalah harus. Perlu di ingat di sini adalah penggunaan inai, bukannya penggunaan pewarna rambut dan ternyata hukum mewarnakan rambut selain menggunakan inai adalah haram.
  
Diriwayatkan dari Aishah bahawa seorang wanita mengisyaratkan di belakang tabir bahawa dia ingin menyampaikan surat kepada Baginda s.a.w. Lalu baginda melihat tangan itu seraya bersabda: "Aku tidak tahu samada ini tangan lelaki atau perempuan". Perempuan itu menjawab: "Aku ialah seorang wanita". Baginda bersabda: "Sekiranya kamu seorang wanita, berbezalah dengan memakai henna (inai) di jarimu". (hadith riwayat Abu Daud)

Mazhab Hanbali berpendapat bahawa penggunaan henna (inai) diharuskan untuk mewarnakan pada mana-mana bahagian anggota badan kecuali di kepala samada kepada lelaki ataupun perempuan.

Manakala mazhab syafie pula berpendapat bahawa lelaki diharuskan memakai henna (inai) pada mana-mana bahagian tubuh badan kecuali tangan dan kakinya. Walaubagaimanapun ia dibenarkan sekiranya melibatkan hal-hal perubatan atau darurat. Perempuan yang berada di dalam iddah kerana kematian suaminya juga dilarang memakai inai.

Imam an-Nawawi dalam fatwa al-Majmu' berkata lelaki diharamkan memakai inai pada tangan dan kaki kecuali pada rambut mereka. Wanita bersuami diharuskan memakai hennai di tangan dan kaki mereka.

Manakala mazhab Hanafi dan Maliki pula, lelaki dan perempuan diharamkan ke atas mana-mana tubuh anggota mereka kerana ia adalah sama seperti memakai wangian.

Pendapat ini berdasarkan dalil dari hadis yang diriwayatkan daripadaKhawlah Bint Hakim daripada ibunya bahawa Rasulullah s.a.w memberitahu kepada Ummu Salamah, "Jangan memakai sebarang wangian ketika kamu berada dalam ihram. Juga pada henna (inai) kerana ia juga adalah wangian." (diriwayatkan oleh At-Tabrani dalam Al-Kabir, Al-Baihaqi dalam Al-Ma'rifah, dan Ibn Abdil Barr di dalam At-Tamheed) 

Dari Abu Hurairah r.a meriwayatkan bahawa seorang mukhannath (khunsa) yang mewarnakan tangannya dengan henna (inai) dibawa ke hadapan Rasulullah. Dikatakan kepada Rasulullah s.a.w: "Wahai Rasulullah, lelaki ini cuba menyerupai wanita." Lalu lelaki itu dihalau dari al-baqi' (sebagai hukuman, dihantar ke tempat yang terpencil supaya dijauhi dari orang ramai). Lalu mereka bertanya kepada Rasulullah s.a.w: "Kenapa dia tidak dibunuh?" Lalu baginda s.a.w bersabda: "Aku dilarang membunuh mereka yang bersembahyang."

 (diriwayatkan oleh Abu Daud, sahih Al-Jaami', 2502) 

Berdasarkan 3 hadis di atas, wanita diharuskan memakai inai pada tangan dan kai mereka tetapi berwaspada sekiranya tujuan pemakainya adalah untuk seperti memakai wangian dengan tujuan tabarruj, maka ia adalah haram.

 Hadis yang pertama dan ketiga, bahwa galakan Rasulullah s.a.w menyuruh kaum wanita untuk memakai inai pada tangan adalah untuk membezakan antara lelaki dan perempuan. Di sini datang pula hadis Nabi bahawa Allah melaknat lelaki yang menyerupai perempuan dan perempuan menyerupai lelaki.

Bagaimana pula hukum memakai inai yang berukir di tangan. Sekarang ini ramai perempuan (pengantin) memakai inai dengan mengukir ala tatu di tangan berupa awan larat ataupun daun. Kita lihat dan nilai berdasarkan hadis Nabi ini :-

Dari Ibnu Umar r.a katanya: "Bahawasanya Rasulullah s.a.w mengutuk orang yang menyambung rambut dan meminta rambutnya disambungkan. Dan Baginda mengutuk pembuat tatu dan yang meminta ditatu."

(hadis bil. 2003 : Sahih Muslim)

Dari Abu Hurairah r.a, Nabi s.a.w bersabda: "Allah mengutuk wanita yang mempergunakan (memberikan) rambutnya untuk (menyambung) rambut wanita lain, wanita yang menyambung rambutnya dengan wanita lain, wanita yang membuat gambar di kulitnya (tubuh) dengan tusukan dan wanita yang meminta kulitnya dibuat gambar dengan tusukan (alat pengukir)"

(hadis bil. 1685 : Sahih Bukhari)

Jelas Dato' Abu Hasan Din Al-Hafiz: "Inai berukir ala tatu tak boleh! Ia dilaknat Allah. Inai berukir bentuk awan larat atau bentuk gambar itu adalah kategori tatu, kalau nak pakai inai, pakailah betul-betul di hujung jari."

Mengenai penjelasan hukum memakai inai baik lelaki mahupun wanita samada di hujung jari mahupun ukiran awan larat atau gambar,sudah jelas hukumnya berdasarkan pendapat ulama' dan dalil yang diberikan. Tetapi masih ada lagi dikalangan masayarakat yang melakukannya. Nak kata tidak diberi penjelasan, saya kira sudah berbuih mulut ustaz-ustaz mahupun ulama'-ulama' mengatakan tentang hukum tersebut. Jangan sampai kita menolak syariat semata-mata untuk mengikut adat. Apa gunanya kita beragama Islam, apa gunanya kita bermazhab jikalau kita tidak mengikuti syariat dan hukum yang telah ditetapkan. Sama-sama kita renungkan wahai pembaca yang budiman....

Wallahu 'Alam.

Sumber :-
 Kitab Sahih Bukhari.
 Kitab Sahih Muslim.
 Kitab Sahih Al-Jaami'

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

♥ Labels ♥